Krabi adalah sebuah wilayah tepi pantai di selatan Thailand dan terkenal dengan gunung batu kapur yang indah, hutan menghijau, pantai yang luas dan air biru yang jernih. Itinerari 1 hari ini membawa anda ke beberapa tempat di Krabi terutamanya jika anda mahu meneroka bandar ini sebelum bergerak ke pulau peranginan.
1. Wat Tham Sua (Kuil Gua Harimau)
Alamat: 35 Krabi Noi, Mueang Krabi District, Krabi 81000, Thailand
Waktu Operasi: 6am – 6pm
Mulakan hari anda dengan lawatan ke Wat Tham Sua yang juga dikenali sebagai Kuil Gua Harimau. Kuil Buddha yang ikonik di Krabi ini terkenal dengan beberapa buah gua yang dipercayai telah digunakan oleh sami-sami untuk bermeditasi. Kuil ini dinamakan sempena legenda yang mengatakan bahawa seekor harimau pernah berkeliaran di kawasan ini dan meninggalkan jejak kaki di dalam gua. Tarikan utama di sini adalah pendakian 1,237 anak tangga ke puncak batu kapur di mana anda akan disajikan dengan pemandangan panorama landskap hijau Krabi yang memukau. Sepanjang pendakian, anda akan melalui patung emas Buddha dan berjumpa dengan monyet tempatan. Jangan lupa bawa air dan pakai kasut yang selesa.
2. Arca Ketam Hitam (The Mud Crabs Sculpture)
Alamat: 3W88+VVJ, Pak Nam, Amphoe Mueang Krabi, Krabi 81000, Thailand
Waktu Operasi: 24 jam
Selepas itu anda boleh pergi ke Arca Ketam Hitam yang terletak berhampiran Sungai Krabi. Arca ketam nipah (mud crab) yang besar ini adalah simbol industri perikanan Krabi yang menjadi mata pencarian penduduk. Patung ini didirikan bersama 3 ekor ketam gangsa yang lebih kecil sebagai simbolik kepada motto bandar Krabi ‘The Liveable City, Friendly People’ yang merujuk kepada kepentingan mendidik anak kecil dan menghormati orang tua. Kat sini, anda boleh bergambar dengan latar belakang sungai dan bot-bot longtail.
Tour ini saya ambil dengan Sea Cool Tours.
Instagram: https://www.instagram.com/seacooltours22
3. Khao Khanab Nam
Alamat: Mueang Krabi District, Krabi 81000, Thailand
Waktu Operasi: Mengikut operator bot
Dah sampai ke tempat Arca Ketam Hitam ni, boleh turun ke Jeti Taman Thara, di mana anda boleh menaiki bot ekor panjang (longtail boat) untuk ke Khao Khanabnam iaitu bukit batu kapur berkembar yang terkenal di Krabi. Formasi semulajadi yang unik ini mengapit Sungai Krabi seperti sebuah gerbang ke masa lalu. Anda perlu menaiki tangga setinggi rumah tiga tingkat sahaja. Di dalam gua batu kapur ini, anda akan menemui stalaktit dan stalagmit serta bahan pameran peninggalan manusia purba yang saya sifatkan seperti sebuah muzium di dalam gua kerana anda juga dapat melihat replika askar Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
4. Kanabnam View Seafood & Fish Farm
Alamat: 30/1 หมู่ที่ 1 Khlong Prasong, Mueang Krabi District, Krabi 81000, Thailand
Waktu Operasi: Setiap hari 10am – 9pm
Selepas melawat Khao Khanabnam, biasanya pakej longtail boat tadi akan berhenti untuk makan tengah hari (atau minum-minum seperti air buah kelapa muda untuk menghilangkan dahaga) di Kanabnam View Seafood & Fish Farm, sebuah restoran terapung yang Halal di tepi sungai. Tempat ini terkenal dengan sajian makanan laut segar yang diperoleh daripada sumber tempatan. Berhadapan restoran juga terletak beberapa petak sangkar hidupan laut. Beberapa spesis ikan ada disini jadi anda memang akan dapat lauk yang segar dan sedap. Antara hidangan tempatan yang popular ialah Kheng Som ikan, ketam stim pedas, udang kara, sotong masak hitam, tom yum dan pelbagai jenis kerang-kerangan. Suasana yang tenang dan dekat dengan air menjadikan pengalaman makan di sini akan terpahat di ingatan selamanya.
5. Botany Cafe & Eatery
Alamat: 40 ถนนเจ้าฟ้า ปากน้ำ เมือง Krabi 81000, Thailand
Waktu Operasi: 9am – 6pm
Usai menaiki bot, berehat sejenak di Botany Cafe & Eatery, sebuah kafe cantik yang terletak di tengah-tengah bandar Krabi. Kafe ini terkenal dengan suasana taman yang hijau, menjadikannya tempat yang sempurna untuk berehat dengan secawan kopi, chai yen atau jus. Kafe ini menawarkan pilihan kek dan pastri buatan sendiri yang sangat menarik dan sedap. Dekorasi dan suasana yang damai menjadikannya tempat yang sesuai untuk berehat sambil mengimbas perjalanan seharian anda di Krabi bersama teman-teman.
6. Aktiviti Malam
(Bebas)
Pada sebelah petang dan malam, anda boleh meneruskan aktiviti santai yang lain di kawasan berdekatan seperti mengunjungi Black Crab Night Market yang terletak berhadapan dengan arca ketam di Pak Nam tadi atau Ao Nang Night Market. Pasar malam sebegini antara yang popular di Krabi. Selain makanan, boleh shopping baju, barang kraftangan, aksesori dan melayan busking. Pasar malam bermula dari jam 4 petang hingga 10 malam.
Selain itu, anda boleh pergi massage kerana Krabi (Thailand umumnya) memang terkenal dengan urutan yang best. Selepas itu boleh pulang ke hotel untuk berehat.
7. Aonang Princeville Villa Resort & Spa
Alamat: 164 Moo 2, Pantai Ao Nang, Krabi, 81180, Thailand.
(Kira-kira 28km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi)
Aonang Princeville Villa Resort & Spa adalah sebuah resort mewah 4 bintang terletak berhadapan dengan pantai di Ao Nang, Krabi, Thailand. Anda cuma perlu melintas jalan sahaja untuk turun ke pantai. Di kiri dan kanan resort adalah barisan kedai-kedai menarik, restoran dan tarikan tempatan. Resort ini menawarkan kemudahan moden dengan motif gaya tradisional Thai, sesuai untuk keluarga, rakan dan pasangan. Terdapat kolam renang yang besar, spa dan restoran. Bilik tertentu mempunyai akses untuk ke kolam renang privasi.
Jenis Bilik:
– Deluxe Boutique
– Deluxe Jacuzzi Pool
– Grand Deluxe Family
– Duplex Suite
– Pool Villa
Julat Harga: Lebih kurang RM300 hingga RM2,000 satu malam, bergantung pada musim dan jenis bilik.
Jadual yang Disyorkan:
– 10:00 AM: Tiba di Wat Tham Sua (Kuil Gua Harimau)
– 11:30 AM: Tiba di Arca Ketam Hitam di Pak Nam
– 11:45 PM: Naik bot ke Khao Khanabnam
– 13:00 PM: Makan tengah hari di Kanabnam View Seafood & Fish Farm
– 15:00 PM: Nikmati kopi dan dessert di Botany Cafe & Eatery
– 18:00 PM: Makan malam di Black Crab Night Market
– 20:00 PM: Pulang ke hotel
TEMPAH DAN TEBUS DISKAUN!
Chup! Dapatkan tawaran menarik di KLOOK samada hotel, tiket perjalanan atau tempat tarikan dan aktiviti pada harga diskaun dengan memasukkan kod ZAHIRAKLOOK.
Terma & Syarat:
KLOOK DISCOUNT CODE – ZAHIRAKLOOK
12% OFF Pengguna Baru
5% OFF Pengguna Lama
Terhad untuk 3X Tebusan (sah sehingga 1 Julai 2025)
http://www.klook.com/?aid=zahiraklook