Trang yang terletak tidak jauh dari pantai Andaman adalah sebuah wilayah di bahagian selatan Thailand yang masih agak jarang diterokai. Trang memiliki sejarah yang kaya, budaya gabungan Thailand, Melayu dan Cina serta landskap yang menakjubkan. Berbeza dengan jiran-jirannya yang lebih komersial, Trang mengekalkan pesona bandar kecil yang tenang membolehkan anda mendalami tradisi tempatan dan keindahan alam semula jadi.
Trang mempunyai sejarah yang panjang dan penuh cerita agung dengan asal-usulnya sebagai pelabuhan perdagangan penting sejak berabad-abad lamanya. Bermula daripada Empayar Srivijaya, ia menjadi hab utama untuk import dan eksport barangan antara Thailand, Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Dikatakan bahawa Trang adalah tempat pertama di Thailand di mana pokok getah ditanam yang mengubah corak ekonomi Trang pada masa itu. Anda masih boleh mengunjungi pokok ini yang telah berusia lebih 125 tahun yang terletak cuma di tepi jalan utama.
Trang bukan sahaja tentang pantai dan pulau yang indah, tetapi juga merangkumi pengalaman budaya yang unik, tempat bersejarah dan makanan selatan Thailand yang lazat. Tahukah anda, dugong adalah simbol haiwan Trang? Di mana-mana sahaja anda akan nampak dugong (dan kadang kala dolfin). Selain itu, produk pertanian Trang yang terkenal adalah lada hitam. Di sinilah anda akan nampak gugusan lada hitam segar digunakan dalam masakan.
Baiklah, mari penulis bawa anda dalam perjalanan menarik ke Trang dengan fokus pada warisan serta keindahan alam yang ditawarkan.
1. Ladang Rusa Cervidae
Bagi tarikan mesra keluarga, pergi ke Ladang Rusa Cervidae. Tempat ternakan rusa ini adalah yang terbesar di Thailand. Jumlah ternakan rusa di sini melebihi 500 ekor. Anda akan dibawa menaiki tram untuk meronda di sekitar ladang, memberi rusa makan dan belajar tentang habitat mereka. Ladang ini juga menyediakan hidangan daging rusa (venison) yang Halal di restoran mereka. Anda boleh menikmati pelbagai menu istimewa yang menggunakan daging rusa.
Alamat: 189 Nong Trut, Mueang Trang District, Trang 92000, Thailand
Waktu Operasi: 830am – 8pm
2. Bo Hin Farmstay
Bo Hin Farmstay, sepertimana namanya anda boleh mengambil pakej menginap 2 Hari 1 Malam di rumah inap desa ini untuk merasai kehidupan luar bandar di Trang. Namun, penulis ke sini untuk menyertai bengkel mewarna batik. Batik adalah seni lama mewarna kain dengan menggunakan lilin untuk menghasilkan corak yang cantik. Terletak di perkampungan kecil berdekatan muara sungai, pengalaman ini tentunya seronok untuk mereka yang mencari ketenangan sambil belajar sesuatu yang baru. Kain batik yang anda warnakan tadi akan diproses menjadi sehelai sapu tangan yang cantik untuk dibawa balik sebagai tanda kenangan.
Alamat: Soi Bohin 145/1, Sikao District, Trang 92150, Thailand
Waktu Operasi: Mengikut tempahan
3. Panae Craft
Melawat ke Panae Craft menawarkan pengalaman mendalam tentang warisan seni mengayam produk dari daun ‘toei panan’ (Pandanus Tectorius). Daun ini serupa dengan daun tikar mengkuang (Pandanus Atrocarpus ) tetapi sedikit berbeza. Tenunan ini telah menjadi seni tradisional di selatan Thailand sejak turun-temurun dan di Panae Craft, anda boleh menyaksikan proses tenunan yang rumit serta mencuba mengayam sendiri. Ini adalah cara terbaik untuk melibatkan diri dengan budaya tempatan dan membawa pulang cenderamata buatan tangan yang cukup cantik dan eksklusif seperti tas tangan, kotak aksesori dan topi hasil indah buatan tangan komuniti kecil setempat di Trang.
Penulis kagum dengan rekaan tas tangan yang kelihatan anggun dan mewah. Penggemar fesyen wajib datang ke sini dan shopping. Harganya lebih murah berbanding yang dijual di kota.
Alamat: 90 2, Bo Hin, Sikao District, Trang 92159, Thailand
Waktu Operasi: Tidak dinyatakan
4. Ban Nam Rab
Bagi pencinta alam, lawatan ke Ban Nam Rab adalah satu kemestian. Juga terletak di muara pantai, anda akan dibawa menaiki bot longtail yang akan membawa anda menyelusuri hutan bakau yang memukau seterusnya melihat fenomena sea split di tengah lautan. Anda mungkin berpeluang untuk melihat hidupan liar tempatan seperti monyet, ketam dan pelbagai spesies burung. Jika anda datang di luar monsun, anda boleh terus ke Koh Kradan iaitu pulau yang dinobatkan sebagai yang tercantik di dunia pada tahun 2023.
Usai menaiki bot, anda boleh terus menikmati makan tengah hari gaya orang kampung. Aneka hidangan makanan laut yang ringkas tapi sedap dan segar seperti ketam, udang dan ikan. Untuk tempahan boleh hubungi Bang Dia Tel. 08 4629 7971, Bang Ut Tel. 08 7277 8017, or Bang Yun Tel. 08 0824 9468.
Alamat: Tambon Bang Sak, Kantang, Trang, Thailand
Waktu Operasi: Mengikut tempahan
5. Kolam Air Panas Kantang
Jika rehat dan rawat adalah dalam senarai, anda boleh berkunjung ke Kantang Hot Spring Forest Park. Kolam air panas semula jadi ini dikelilingi hutan yang subur yang menawarkan suasana tenang untuk bersantai. Penduduk tempatan percaya bahawa air yang kaya dengan mineral ini mempunyai sifat terapeutik, menjadikannya tempat yang popular untuk mereka yang ingin menyegarkan badan dan minda serta pemulihan fizikal. Di sini juga ada pusat urut Thai yang menawarkan servis urutan badan, bahu, kaki dan kepala.
Ajaibnya alam apabila terdapat dua aliran anak sungai air panas dan air sejuk berada bersebelahan sahaja. Menarik, bukan?
Alamat: CF67+283 Onsen Bo Nam Ron, Kantang District, Trang 92110, Thailand
Waktu Operasi: 830am – 630pm
6. Kantang Old Town
Bandar Lama Kantang adalah pusat sejarah yang menawarkan pemandangan zaman dahulu Trang. Bandar ini menempatkan seni bina Sino-Portugis, rumah kedai yang berwarna-warni dan bangunan era kolonial (seperti di Pulau Pinang) yang mengimbau kembali zaman ketika Kantang adalah pusat bandar yang penting sebelum berpindah ke Trang. Samada berjalan atau menaiki kenderaan, anda boleh menerokai kafe lokal, galeri seni dan muzium kecil yang menghimpunkan sejarah bandar ini. Antara tempat tumpuan pelancong adalah Hokkien Kwan Kuan Temple dan Goddess Thap Tim Shrine. Di jajaran lot kedai yang sama juga terdapat Surau Pakistan.
Alamat: Kantang District, Trang 92110, Thailand
7. Stesen Kereta Api Kantang
Kantang Railway Station adalah salah salah satu stesen yang tertua di selatan Thailand, dibina pada awal abad ke-20 (1913). Bangunan kayu kuning ini masih beroperasi sehingga hari ini dan dipelihara dengan baik. Lawatan ke sini seolah-olah melangkah kembali ke masa lalu. Terasa sungguh nostalgik! Stesen ini adalah tempat yang sempurna untuk pencinta seni bina bersejarah mahupun untuk penggemar swafoto.
Alamat: Kantang, Kantang Subdistrict, Trang 92110, Thailand
8. Canopy Walkway di Thung Khai Botany Garden
Menyelusuri taman rimba ini tidak kurang mengasyikkan. Laluan gantung menawarkan pemandangan panorama hutan di bawah dan langit di atas membolehkan anda mengalami keindahan alam semula jadi Trang dari sudut yang tinggi seperti pandangan seekor burung. Jangan lupa untuk membasahkan tekak di kafe berdekatan yang terkenal dengan Durian Coffee. Mereka menggunakan isi durian Golden Pillow yang berlemak manis.
Alamat: Yan Ta Khao District, Trang 92140, Thailand
Waktu Operasi: 830pm – 430pm
9. Meneroka Trang dengan Tuk Tuk
Salah satu cara terbaik untuk meneroka Bandar Trang adalah dengan menaiki tuk-tuk. Tuk-tuk di Trang terkenal dengan warna yang ceria dan reka bentuk terbuka. Menunggang tuk-tuk bukan hanya mengenai pengangkutan, tetapi juga pengalaman yang membolehkan anda merasai suasana kota yang hidup dan angin sepoi-sepoi. Antara tempat yang dicadangkan adalah Clock Tower, Dolphin Roundabout, Street Art di sekitar bangunan Sino-Portugis di Thap Thiang, Masjid Madina Tun Islam, Trang Christian Church dan Tam Kong Yia Temple.
Anda boleh menyewa tuktuk ini di Stesen Keretapi Trang. Barisan tuktuk menunggu anda di luar stesen untuk membawa anda mengelilingi bandar Trang.
Alamat: Trang Railway Station
Waktu Operasi: Mengikut tempahan
10. Tekstil Na Muen Si
Na Muen Si terkenal dengan hasil kraf tekstilnya yang berwarna-warni terutama pada fabrik tradisional Thai sejak lebih 200 tahun yang lampau. Anda berpeluang untuk membeli kain ela buatan tangan yang sangat indah. Tidak terhad dengan produk pakaian semata-mata, terdapat juga beg galas, beg tangan, topi dan jaket. Jika anda mahu berbelanja barangan yang ekslusif yang menjadi pilihan keluarga diraja Thai, di sinilah tempatnya.
Anda juga boleh melihat sendiri bagaimana tekstil ini dibuat menggunakan mesin tradisional dan melawat mini muzium di bahagian atas.
Alamat: Na Yong Trang 92170, Thailand
Waktu Operasi: 8am – 5pm
11. Kanittha Cake Halal
Bagi pencinta makanan, lawatan ke Kanitta Cake adalah satu kemestian. Kedai roti tempatan ini menawarkan pelbagai kek dan pastri halal yang menggabungkan rasa tradisional Thai dengan sentuhan moden. Kek span mereka yang gebu adalah antara yang paling terkenal dan sering dinikmati bersama kopi. Kedai roti ini telah menjadi tempat persinggahan yang disukai oleh penduduk tempatan dan pelancong untuk membeli pelbagai barangan lokal untuk dibawa pulang. Antara produk popular yang lain adalah ikan masin, lada hitam dan kicap masakan.
Alamat: 133 หมู่ที่ 7 ถนน ตรัง-พัทลุง, Na Yong Nuea, Trang, Thailand
Waktu Operasi: 630am – 9pm
12. Pasar Malam Trang (Trang City Centre Market)
Bandar Trang terus hidup pada waktu malam. Terletak di pusat bandar, pasar malam ini menawarkan pelbagai makanan tempatan yang enak dan barangan yang menarik. Semasa ke sini, patung comel Labubu tengah menjadi kegilaan orang ramai dan banyak dijual disini. Walaupun begitu, pilihan makanan Halal adalah terhad di sini. Vibe di pasar malam ini sangat menarik dan lively, boleh duduk makan buah dan minuman sedap sambil menikmati suasana masyarakat di sana.
Alamat: Tambon Thap Thiang, Mueang Trang District, Trang 92000, Thailand
Waktu Operasi: 4pm – 9pm
Bagaimana untuk Pergi ke Trang dari Malaysia?
Melalui Udara:
Sehingga artikel ini ditulis, Lapangan Terbang Antarabangsa Trang masih belum dibuka jadi tiada penerbangan terus ke Trang dari Malaysia atau Singapura. Oleh itu, cara paling mudah adalah dengan menaiki pesawat ke Krabi dan kemudian menyewa kereta untuk ke bandar Trang. Alternatif lain adalah dengan turun di mana-mana international airport seperti Bangkok dan ambil penerbangan domestik ke Trang Airport.
Memandu Sendiri:
Jika anda lebih suka perjalanan darat, anda juga boleh memandu dari Malaysia ke Trang. Perjalanan ini melibatkan penyeberangan sempadan Thailand-Malaysia, jadi pastikan anda mempunyai semua dokumen yang diperlukan seperti lesen pendaftaran kenderaan. Perjalanan ini memakan masa yang panjang dan sesuai jika anda masukkan tempat-tempat lain untuk berhenti dan dilawati sekali.
Menaiki Keretapi atau Bas:
Anda perlu menaiki kereta api dari Malaysia ke Padang Besar iatu di sempadan Thailand di mana anda akan melalui pemeriksaan imigresen dan kastam. Dari situ, anda boleh menaiki bas atau van ke Hat Yai, yang merupakan hab pengangkutan utama di selatan Thailand. Dari Hat Yai, anda boleh mengambil bas atau van lain ke Trang. Pilihan ini memakan masa lebih lama dan mungkin memerlukan beberapa kali pertukaran, jadi sesuai untuk golongan backpackers dan slow travellers.
TEMPAH DAN TEBUS DISKAUN!
Chup! Dapatkan tawaran menarik di KLOOK samada hotel, tiket perjalanan atau tempat tarikan dan aktiviti pada harga diskaun dengan memasukkan kod ZAHIRAKLOOK.
Terma & Syarat:
KLOOK DISCOUNT CODE – ZAHIRAKLOOK
12% OFF Pengguna Baru
5% OFF Pengguna Lama
Terhad untuk 3X Tebusan (sah sehingga 1 Julai 2025)
VISA DISCOUNT CODE 5% OFF – MYVISAKREATOR
Semua Pengguna
Boleh guna dengan kod lain (sah sehingga 31 Disember 2024)
http://www.klook.com/?aid=zahiraklook