The Ultimate California Cheese Party 2026: Memperkenalkan Keunikan Keju California ke Malaysia

Awal April 2026 yang lalu, satu acara eksklusif bertemakan keju telah berlangsung di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur yang menghimpunkan para pengamal media, pencipta kandungan, rakan industri serta peminat kulinari dalam satu suasana yang cukup meriah dan informatif.

Dianjurkan oleh Real California Milk, The Ultimate California Cheese Party 2026 merupakan sebahagian daripada kempen berterusan untuk memperkukuhkan kesedaran terhadap kualiti dan keaslian produk tenusu dari California dalam pasaran Malaysia.

Kempen ini memberi penekanan kepada kelebihan utama produk tenusu California termasuk penggunaan susu daripada lembu yang diberi makan bijirin berkualiti, persekitaran ladang yang kondusif serta pematuhan kepada piawaian keselamatan makanan yang ketat di bawah seliaan USDA. Melalui pendekatan ini, Real California Milk berusaha membina keyakinan pengguna tempatan terhadap sumber dan mutu produk mereka.

Sepanjang acara, para tetamu berpeluang meneroka pelbagai jenis keju semulajadi dan artisan yang dipamerkan dalam satu showcase khas. Pameran ini bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian produk malah turut menonjolkan inovasi dan kepakaran pengeluar keju California dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi yang sesuai untuk pelbagai aplikasi kulinari.

Salah satu pengisian utama acara adalah sesi pembentangan dan degustasi eksklusif bersama Lynn Giacomini Stray, wakil daripada Point Reyes Farmstead Cheese Company. Melalui sesi ini, para tetamu didedahkan kepada warisan pembuatan keju artisan serta proses penghasilan yang menitikberatkan keseimbangan antara tradisi dan inovasi.

Menariknya, produk keju Point Reyes yang diperkenalkan dalam acara ini telah memperoleh pensijilan halal sekaligus membuka ruang yang lebih luas kepada pengguna Muslim di Malaysia untuk menikmati keju artisan premium dengan penuh keyakinan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen jenama tersebut dalam memenuhi keperluan pasaran tempatan tanpa menjejaskan kualiti produk.

Para tetamu turut berpeluang merasai lima variasi keju berbeza, masing-masing menawarkan profil rasa yang tersendiri daripada tekstur berkrim dan lembut kepada nota rasa yang lebih kompleks seperti truffle, rempah halus serta ciri-ciri keju biru yang lebih berani.

Selain itu, demonstrasi kulinari secara langsung oleh Fazil Shahreen dari The Olive Tree Group menampilkan kreativiti penggunaan keju California dalam hidangan moden. Tiga sajian telah diperkenalkan iaitu Corn Croquette, Rice Kheer dan Stuffed Scallop Wings yang membuktikan bahawa keju bukan sahaja sesuai untuk hidangan Barat malah boleh diolah dalam konteks masakan yang lebih pelbagai termasuk pencuci mulut. Chef Aison turut menghidangkan roti sourdough berkeju dari cafe beliau dan rasa roti-roti itu amat menepati selera para tetamu.

Secara keseluruhannya, The Ultimate California Cheese Party 2026 berjaya mempersembahkan satu pengalaman yang menyeluruh merangkumi aspek pendidikan, interaksi serta eksplorasi rasa. Lebih daripada itu, acara ini memperkukuhkan lagi mesej utama kempen Real California Milk dalam memperkenalkan keju California sebagai pilihan berkualiti tinggi yang relevan dan sesuai untuk gaya hidup serta citarasa pengguna di Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »