Pos Malaysia Lancar Setem Khas Kempen Melawat Malaysia 2026

Pos Malaysia Berhad pada 8 Jun 2026 telah melancarkan keluaran setem khas terbaru sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang paling dinanti-nantikan. Inisiatif pelancongan nasional ini mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia, destinasi ikonik serta semangat perpaduan yang menjadi identiti negara.

Koleksi setem tersebut telah dilancarkan secara rasmi di Pejabat Pos Besar Lama, Bangunan Sultan Abdul Samad oleh Yang Berhormat Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, bersama Tuan Mohamad Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan Puan Fiona Liao, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Pos Malaysia Berhad. Majlis tersebut turut dihadiri para jemputan, rakan kerjasama dan wakil media.

Menurut Fiona Liao, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Pos Malaysia, keluaran setem khas ini bukan sekadar koleksi berharga tetapi juga medium yang bermakna untuk berkongsi kisah Malaysia dengan dunia. Setiap reka bentuk mencerminkan kekayaan warisan, kepelbagaian budaya dan pengalaman unik yang membentuk identiti negara. Melalui rangkaian Pos Malaysia yang meluas, syarikat itu berbangga dapat menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 dengan menghubungkan masyarakat dan destinasi, sekali gus membawa Malaysia lebih dekat kepada komuniti global.

Pos Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas kerjasama erat dalam pembangunan keluaran setem khas ini, yang mencerminkan aspirasi bersama untuk mempromosikan kepelbagaian tarikan dan warisan budaya Malaysia menerusi Kempen Melawat Malaysia 2026.

Meraikan Pengalaman Ikonik Malaysia

Koleksi setem VM2026 menampilkan semangat “Malaysia, Truly Asia” menerusi pilihan mercu tanda dan ikon budaya yang paling dikenali dari seluruh negara.

Antara lokasi dan simbol yang diketengahkan termasuk Gua Kelam, Pulau Langkawi, Bukit Bendera, Wau Bulan, Muzium Negeri Terengganu, Cameron Highlands, Menara Jam Condong Teluk Intan, Bangunan Sultan Abdul Samad, Menara Berkembar Petronas, Bukit Melawati, Istana Lama Seri Menanti, Kota A’ Famosa, Masjid Sultan Abu Bakar, Dewan Undangan Negeri Sarawak serta ikon negeri seperti Burung Kenyalang dari Sarawak dan Sigah bersama Kera Proboscis dari Sabah.

Secara keseluruhannya, reka bentuk yang ditampilkan menyerlahkan gabungan unik warisan, budaya dan keindahan alam semula jadi Malaysia. Koleksi ini memperkukuh mesej perpaduan dan kepelbagaian yang dibawa oleh kempen tersebut, di samping menggalakkan rakyat tempatan serta pelancong antarabangsa untuk meneroka keistimewaan yang menjadikan Malaysia sebuah destinasi yang unik.

Reka Bentuk dan Kemasan Istimewa

Keluaran setem ini menampilkan pelbagai teknik kemasan khas yang meningkatkan nilai estetik serta keistimewaannya sebagai bahan koleksi. Antara ciri yang digunakan termasuk elemen die-cut, tebukan berbentuk hati pada helaian mini dan kemasan spot UV yang menyerlahkan ciri-ciri utama reka bentuk.

Helaian mini tersebut turut menampilkan Wira dan Manja, maskot rasmi Kempen VM2026 yang diinspirasikan daripada Beruang Matahari, spesies beruang terkecil di dunia yang berasal dari Asia Tenggara. Sebagai spesies terancam yang menghuni hutan hujan tropika Malaysia, Beruang Matahari melambangkan kekayaan biodiversiti negara serta komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar.

Harga dan Kandungan Koleksi

Set folder lengkap yang dijual pada harga RM62.60 merangkumi:

• Dua set setem se-tenant yang menampilkan empat reka bentuk dengan nilai RM0.50 dan RM1.30

• Satu helaian mini

• Sampul Surat Hari Pertama bersama setem

• Sampul Surat Hari Pertama bersama helaian mini

• Dua keping poskad

• Folder peringatan rasmi

Koleksi ini menjadikannya set lengkap sempena keluaran istimewa VM2026.

Selain itu, dua reka bentuk poskad khas turut ditawarkan pada harga RM2.50 sekeping dan boleh dibeli bersama setem serta bahan filateli VM2026 yang lain mulai tarikh pelancarannya.

Cop Khas VM2026 di Seluruh Negara

Sempena pelancaran ini, pelanggan juga boleh mendapatkan cop khas VM2026 yang disediakan di 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara serta Pejabat Pos Kangar, Perlis.

Pengunjung boleh mendapatkan cop khas tersebut dan menggunakannya pada pelbagai bahan seperti pasport setem, poskad dan jurnal sebagai kenangan istimewa sepanjang perjalanan mereka.

Inisiatif ini dijangka akan diteruskan sepanjang tempoh Kempen Melawat Malaysia 2026. Dengan menggabungkan pengalaman pelancongan, pengumpulan setem dan filateli, inisiatif ini menawarkan satu lagi cara untuk menggalakkan pelancongan sambil memperkenalkan keindahan dunia setem serta kisah warisan budaya dan destinasi Malaysia melalui pengalaman yang lebih peribadi dan bermakna.

Kini Boleh Didapati di Seluruh Negara

Semua produk boleh didapati mulai 8 Jun 2026 di 90 Biro Filateli di seluruh negara, termasuk 13 Pejabat Pos Besar, pejabat pos terpilih serta menerusi kedai dalam talian Pos Malaysia di Pos Malaysia Shop selagi stok masih ada.

Menghubungkan Malaysia Dengan Dunia

Kempen Melawat Malaysia 2026 merupakan usaha nasional untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, inklusif dan kaya dengan warisan budaya kepada pelancong dari seluruh dunia.

Menerusi keluaran setem ini, Pos Malaysia meneruskan tradisi lamanya dalam mengangkat kisah Malaysia melalui filateli, menghubungkan masyarakat, budaya dan pengalaman merentasi sempadan sambil memperkenalkan keunikan negara kepada khalayak antarabangsa.

Pos Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk membina kepercayaan dalam menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa depan yang lebih baik. Keluaran setem khas ini mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam menghidupkan kisah-kisah Malaysia sambil mengukuhkan hubungan di peringkat tempatan dan global.

Untuk maklumat lanjut, layari Pos Malaysia atau ikuti saluran media sosial rasmi mereka di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan LinkedIn.

Tentang Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia)

Pos Malaysia ialah penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional di Malaysia, serta pemegang mandat tunggal untuk perkhidmatan pos sejagat negara. Dengan sejarah yang membanggakan yang menjangkau lebih 200 tahun, Pos Malaysia telah berkembang daripada hanya menyediakan perkhidmatan penghantaran mel dan bungkusan tradisional kepada penyelesaian logistik menyeluruh dan pelbagai produk melalui perkhidmata penerbangan, peruncitan, logistik dan digital. Pos Malaysia telah beralih daripada syarikat mel yang juga menghantar bungkusan kepada syarikat penghantaran bungkusan yang juga menghantar mel. Tujuannya adalah bersemangat dalam membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang.

Pos Malaysia mempunyai capaian jarak jauh yang paling luas, menghantar ke lebih daripada 11 juta alamat di seluruh negara serta ke lebih 230 negara dan wilayah di seluruh dunia. Kami berhubung dengan rakyat Malaysia untuk menyediakan rangkaian runcit yang paling komprehensif melalui lebih 3,000 titik sentuh di seluruh negara.

Pos Malaysia adalah hak milik majoriti syarikat konglomerat DRB-HICOM Berhad. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »