Baru-baru ini saya berkesempatan menghadiri majlis pengumuman kehadiran OCREVUS® di Malaysia oleh Roche (Malaysia) sebagai pilihan rawatan penyakit Multiple Sclerosis (MS). Pengambilan OCREVUS® lebih memudahkan kerana ia hanya perlu diambil dua kali setahun (melalui suntikan infusi intravena) bagi sklerosis berbilang yang berulang (RMS) dan sklerosis berbilang progresif primer (PPMS).
Berita ini pastinya menggembirakan bukan saja penderita malah penjaga juga apabila data menunjukkan tahap MS yang dialami oleh 8 daripada 10 pesakit RMS tidak berkembang selepas 10 tahun.
Tentang Sklerosis Berbilang (Multiple Schlerosis)
Sklerosis berbilang (MS) adalah penyakit neurologi yang menjejaskan otak dan saraf tunjung (sistem saraf pusat) yang mengawal semua fungsi badan. MS merosakkan selaput yang melindungi saraf dikenali sebagai mielin. Kehilangan mielin atau demielinasi akan mengganggu keupayaan saraf untuk mengalirkan impuls elektrik ke otak dan dari otak.
Akibatnya, individu MS boleh mengalami pelbagai gejala termasuklah penglihatan kabur, pening, lesu, kebas dan sesemut, kekejangan otot, anggota badan menjadi kaku dan lemah, masalah pergerakan, masalah pertuturan, vertigo, rasa sakit, gangguan usus besar atau pundi kencing, dan sukar untuk menelan.
Walaupun kadar kelaziman (prevalens) MS di Asia lebih rendah, namun gejala yang dideritai oleh pesakit tetap sama seperti di mereka yang tinggal di Barat. MS juga lebih ramai dihidapi oleh wanita muda dari umur belasan hingga tiga puluhan berbanding lelaki.
Panel Jemputan Dan Sesi Perkongsian
Walaupun selalu juga dengar mengenai Multiple Sclerosis ini, saya tidak mempunyai info yang mendalam mengenainya. Jadi saya sangat bertuah apabila dapat bersama-sama mendengar penjelasan dari 3 orang ahli panel yang dijemput, termasuklah salah seorang daripadanya menceritakan pengalaman sebenar menjaga pesakit MS.
Ahli panel jemputan pertama adalah Dr Low Soon Chai, Pakar Perunding Neurologi, Prince Court Medical Centre (PCMC) yang juga ahli seumur hidup Malaysian Society of Neurosciences. Beliau pernah memegang jawatan penting di University Malaya Medical Centre dan UM Specialist Clinic (UMSC) disamping menjadi pensyarah neurologi di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.
Menurut Dr. Low.
“Sklerosis berbilang adalah masalah kesihatan sepanjang hayat dan tidak dapat disembuhkan. Penyakit ini juga sangat sukar diramalkan.
“Bagi sesetengah orang, mereka melalui fasa reda di mana keadaan semakin baik (remisi) dan kemudiannya penyakit menyerang semula (relaps). Bagi orang lain, keadaan mereka mungkin bertambah buruk dari semasa ke semasa. Namun, individu dengan semua bentuk MS mengalami aktiviti penyakit seperti keradangan sistem saraf dan kehilangan kekal sel-sel saraf di otak, walaupun ketika gejala klinikal mereka tidak ketara atau tidak kelihatan semakin teruk.”
Dalam memberi penjelasan mengenai jenis-jenis MS, ahli panel jemputan kedua Dr Chey Shin Yee, Pakar Perunding Neurologi, berkata,
“Individu yang mempunyai RRMS mengalami episod gejala neurologi yang berulang-ulang, diikuti tempoh reda atau remisi. Satu episod boleh berlarutan selama beberapa hari atau minggu, dan pemulihannya mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan, bergantung kepada gejalanya, bahkan pada sesetengah pesakit ada gejala yang tidak hilang sepenuhnya.”
“Lama kelamaan, RRMS yang dialami sesetengah individu boleh berubah menjadi MS progresif sekunder (SPMS), di mana fungsi neurologi semakin merosot dan ketidakupayaan pula terkumpul secara berperingkat, walaupun tiada relaps. Perubahan ini biasanya berlaku selepas bertahun-tahun mengalami RRMS.”
“Sklerosis berbilang progresif primer (PPMS) adalah jenis MS yang lebih jarang berlaku. Tidak seperti MS relaps-remisi (RRMS), di mana pesakit mengalami episod gejala yang semakin teruk dan disusuli tempoh remisi (reda), PPMS dicirikan oleh gejala yang semakin teruk dari awal, tanpa relaps atau remisi yang ketara.
Tambah Dr. Chey,
Individu dengan MS yang sudah teruk mungkin terpaksa bergantung kepada alat bantuan pergerakan atau menggunakan kerusi roda, tidak dapat bekerja dan lambat laun mereka juga akan memerlukan penjaga.
Dr. Chey Shin Lee adalah graduan University of London dan bertugas sebagai Consultant Neurologist di Prince Court Medical Centre. Sepanjang kariernya, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Unit Neurologi di Hospital Selayang dan neurology fellow di Hospital Kuala Lumpur dan pernah memenangi Rising Star Award di Malaysia Stroke Conference 2022.
Dr Low dan Dr Chey turut menegaskan kepentingan berjumpa pakar neurologi apabila mengalami gejala-gejala mirip MS untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan mengenepikan keadaan neurologi lain yang mungkin meniru gejala MS kerana hal ini akan membawa kepada misdiagnosis.
Pada sesi tersebut, turut hadir adalah En. Rizal Al-Amin bin Aminuddin, Presiden Persatuan Multiple Sklerosis Malaysia (MSSM) yang menyatakan rasa besar hati beliau atas kesudian Roche berkolaborasi bersama persatuan tersebut untuk meningkatkan kesedaran nasional mengenai intervensi awal, rawatan dan pengrusan bagi mengelakkan perkembangan penyakit MS.
En. Rizal Aminuddin yang bekerja sebagai konsultan arkitek turut menjadi penjaga kepada isteri beliau, Pn. Norzey Md. Nata yang menderita MS sejak 2012. Beliau sangat menghargai usaha Roche Malaysia kerana menyokong pesakit dengan menyediakan program bantuan pesakit bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada rawatan yang memberikan hasil yang lebih baik.
“Program bantuan pesakit menolong meringankan beban kewangan pesakit dan keluarga mereka, memastikan pesakit boleh mengakses penjagaan yang diperlukan dengan fikiran yang tenang,” tambah Rizal.
“MSSM percaya kepada pendekatan yang holistik dan inovatif untuk rawatan MS. Kami sentiasa memperjuangkan agar ubatan baharu ini tersedia untuk pesakit dan menyokong pengamal perubatan am diberi latihan mengenali MS supaya mereka juga boleh membantu mengesan MS dari awal serta menyalurkan pesakit kepada pakar yang tepat untuk rawatan susulan.
“Saya juga bercakap daripada pengalaman sendiri sebagai penjaga MS apabila berkongsi kisah perjalanan pesakit yang agak traumatik jika mereka tidak disalurkan kepada rawatan dan sokongan perubatan yang tepat dari awal,” tambahnya.
Memang tersentuh hati saat beliau menceritakan penderitaan isteri tersayang dan pengorbanan yang dilakukan untuk keluarga. Semoga dengan hadirnya OCREVUS® di Malaysia dapat memberikan sinar baru dan harapan buat penghidap Sklerosis Berbilang (Multiple Sclerosis).
Data Klinikal yang Menyokong Keberkesanan OCREVUS®
Keberkesanan OCREVUS® untuk rawatan RMS telah ditunjukkan dalam dua ujian klinikal, OPERA I dan OPERA II, di mana 1,656 peserta dirawat selama 96 minggu. Dalam kedua-dua ujian, insiden relaps dalam kalangan pesakit yang menerima OCREVUS® didapati berkurang sebanyak hampir separuh (46%).
Ia juga terbukti berkesan dalam memperlahankan perkembangan penyakit di mana peserta yang menerima OCREVUS® kurang berkemungkinan mengalami perkembangan ketidakupayaan (40%), manakala peratusan peserta yang mengalami perkembangan ketidakupayaan adalah kecil (9.8%). Ramai peserta (33%) juga menunjukkan peningkatan yang baik dari segi ketidakupayaan selepas 3 bulan mengambil OCREVUS®. Ubat ini juga terbukti dapat mengurangkan lesi otak.
Kedua-dua kajian menunjukkan pengurangan lesi yang ketara menerusi imbasan MRI, dengan kadar 94% dan 95% masing-masing. Dalam kajian ORATORIOuntuk PPMS ke atas 732 peserta yang dirawat selama sekurang-kurangnya 120 minggu, OCREVUS® didapati melengahkan perkembangan ketidakupayaan di mana peserta yang diberikan OCREVUS®kurang berkemungkinan mengalami perkembangan ketidakupayaan (24%).
OCREVUS® yang telah diluluskan pada November 2023 untuk rawatan RMS dan PPMS untuk penggunaan di Malaysia telah dimasukkan ke dalam Program Bantuan Pesakit Roche (RPAP) yang membantu pesakit berkelayakan mengakses ubat-ubatan Roche yang dipreskripsikan oleh doktor di bawah skim bersubsidi untuk menyokong keseluruhan kos rawatan mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai MS, OCREVUS® dan RPAP, sila hubungi pakar neurologi atau doktor yang merawat anda.