Alam Flora – Cyber Eco Hunt 2023

Alam Flora Sdn Bhd menganjurkan lagi sekali program tahunan Cyber Eco Hunt pada tahun ini. Disertai 27 orang selebriti, pempengaruh, blogger dan KOL (Key Opinion Leader), kali ini bertempat di kawasan yang strategik di ibu kota iaitu Bukit Bintang. Kami diminta berkumpul di Elephant Republic: Coconut Coffee & Tea, Jalan Rembia, Bukit Bintang.

Biarpun hujan renyai dari awal pagi, langsung tidak mematahkan semangat malah kami tidak sabar melakukan tugasan (Task) untuk dikongsikan bersama pengikut masing-masing secara langsung di media sosial.

Sebelum bermula, kami sempat bersarapan dahulu sementara menunggu hujan reda. Usai bacaan doa, acara pun bermula dengan dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Zain Hassan, Chief Executive Officer of Alam Flora Sdn Bhd.

OBJEKTIF CYBER ECO HUNT 2023

Melalui rangkaian media sosial oleh KOL, pempengaruh & blogger, objektif program ini adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai kebersihan demi kelestarian alam sekitar melangkaui jutaan ‘reach’ terus kepada orang ramai (followers). Tugasan yang disediakan juga adalah untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menguruskan sisa sampah dengan cara yang betul.

Program sebegini juga sebagai tanda komited Alam Flora dalam pengurusan sisa yang lebih moden seiring dengan matlamat kerajaan untuk mencapai 40% sisa kitar semula menjelang tahun 2025. 

Melalui acara Cyber Eco Hunt ini, peserta perlu menyelesaikan 5 tugasan satu demi satu dan medium yang digunakan adalah Instagram Story. Pemarkahan peserta dinilai dari segi kreativiti dan isi kandungan video.

CHECKPOINT 1 : ECO WASTE CHALLENGE

Di sini, kami diajar cara untuk menguruskan sisa. 4 kunci utama pengurusan sisa adalah:

1. ASINGKAN SISA : Samada sisa yang boleh dikitar semula (plastik, kertas, kaca atau tin) atau sisa domestik, ini adalah langkah pertama yang paling penting.

2. IKAT BEG PLASTIK DENGAN RAPI : Wajib ikat dengan kemas untuk mengelakkan sepah dan diganggu oleh haiwan.

3. GUNA TONG YANG DITETAPKAN : Jangan pula tinggalkan sisa atau beg sampah di sebelah tong.

4. MEMATUHI JADUAL KUTIPAN : Patuhi jadual kutipan sisa agar dapat memudahkan proses pungutan sampah dan sisa dengan teratur.

CHECKPOINT 2 : ZERO FLYING TRASH CHALLENGE

Di sini, wakil Alam Flora menerangkan tentang kesan sampah terbang di kawasan kejiranan dan kawasan sekitar. Mereka juga melakukan demonstrasi sampah terbang untuk memberi kan kami pengalaman sebenar tentang impak tabiat buruk tersebut.

Sesungguhnya, ‘sampah terbang’ ini akan jatuh merata-rata seperti di kaki lima, longkang dan juga atap (awning) rumah bawah yang akhirnya menjadi punca bau busuk dan kemunculan binatang perosak yang mengancam kesihatan.

‘Sampah terbang’ juga amat bahaya. Bayangkan jika terdapat objek tajam dan menimpa pejalan kaki, terutamanya kanak-kanak dan haiwan. Biasa juga kita baca berita tentang kemalangan yang berlaku sebelum ini akibat ‘sampah terbang’.

CHECKPOINT 3 – WASTE-FREE DRAINS CHALLENGE

Perkara paling penting adalah mendidik masyarakat tentang kepentingan untuk tidak membuang sampah ke dalam longkang. Longkang bukan tempat pembuangan sampah! Longkah direka adalah untuk menyalurkan air justeru pembuangan sampah ke dalam longkang akan menyebabkan longkang tersumbat dan risiko untuk banjir.

Wakil Alam Flora menerangkan, sisa makanan yang dibuang ke dalam longkang akan terkumpul dan menghalang aliran air. Ini adalah punca banjir kilat yang sering berlaku di bandar.

Tugas pihak Alam Flora menjadi lebih mencabar dan memakan masa yang lama apabila terlalu banyak sampah yang perlu dibersihkan. Kami melihat sendiri demonstrasi pekerja Alam Flora menjalankan pembersihan longkang secara mekanikal (jentera Vacall-Water jetter). Sudah tentu mereka terpaksa masuk ke dalam manhole untuk memastikan longkang dan saluran air kembali bersih. 

Tugasan ini benar-benar membuka mata kami tentang kesedaran untuk tidak membuang sampah merata-rata kerana akhirnya, sampah akan masuk ke dalam longkang juga.

CHECKPOINT 4: LITTER CLEAN-UP CHALLENGE

Kami diberitahu bahawa kawasan Mural Area @ Lorong Bukit Bintang ini dulu adalah tempat pembuangan sampah kerana lokasinya yang sibuk dan sikap tidak peduli masyarakat sekeliling. Namun hasil daripada inisiatif oleh PBT kini berhasil untuk dinikmati oleh orang awam. Kawasan tersebut sekarang sangat cantik dan bersih lagi-lagi ada banyak lukisan kucing yang comel.

Apatah lagi, ia menaikkan nilai estetik estetik khususnya industri pelancongan. Tugasan kali ini adalah untuk mendidik orang awam memanfaatkan semula sisa jenis sampah yangh boleh dikitar semula.

UPCYCLE: TURNING TRASH INTO TREASURE

Untuk tugasan ini, kami diberi beberapa peralatan alatan dan satu bahan buangan iaitu kotak untuk mencipta kraftangan baru. Ini bertujuan untuk menunjukkan bagaimana sampah boleh diberi nafas baru menjadi sesuatu yang menarik dan praktikal. Bayangkan daripada hanya kotak biasa kini menjadi sebuah bingkai gambar yang cantik.

CHECKPOINT 5:  THE CYBER ECO WARRIOR PLEDGE CHALLENGE

Selebriti, pempengaruh, blogger dan KOL sebenarnya adalah wakil masyarakat yang mempunyai pengikut di media sosial yang selalu diperhatikan. Maka komitmen peserta dalam memberikan impak positif kepada alam sekitar dengan mengamalkan amalan pengurusan sisa yang mampan adalah amat diperlukan. Kami dengan ini berjanji untuk sentiasa menggalakkan orang ramai untuk menjadi masyarakat peka alam sekitar.

Kami dengan ini berikrar untuk melakukan:

  • Pengasingan sisa di punca & ikat plastik sampah dengan rapi
  • Buang sampah ke dalam tong yang ditetapkan/disediakan untuk sisa dapur/domestik
  • Ambil tahu dan mematuhi jadual kutipan sisa ikut kawasan masing-masing
  • Mengelakkan pembuangan sampah merata dan sampah terbang, tidak membuang sampah ke dalam longkang dan mempromosikan amalan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

WE ARE THE CYBER ECO WARRIOR!

Ikrar ini diterjemahkan dalam Cyber Eco Warrior Pledge Card (bertulis dan digital). Video dibawah adalah rangkuman kesemua tugasan dan juga ikrar tersebut. Ikut hashtag #CyberEcoHunt23 #JomRawatBumi #BeyondWasteManagement #AlamFlora #TowardsSustainableCities #EnhancingLifeEnrichingCommunities di Instagram.

TENTANG ALAM FLORA SDN BHD

Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), adalah anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), yang ditubuhkan bagi memodenkan pengurusan sisa pepejal di Malaysia serta meningkatkan kecekapan dan mutu pengurusan sisa pepejal daripada peringkat penjanaan sisa sehingga ke proses pelupusan sampah.

Alam Flora merupakan salah sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini yang bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Alam Flora telah memperkenalkan program Saya Sayang Bumi untuk memainkan peranan aktif ke arah melindungi dan memelihara alam sekitar, selaras dengan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau SDG.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »