Hotel Review : AVANI Sepang Goldcoast Resort

(English translation available)

Terletak kira-kira 1 jam 45 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur dan 40 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), AVANI Sepang merupakan sebuah resort atas air berbentuk pokok palma dan mempunyai 315 bilik dan villa.

Resort ini terkenal sebagai destinasi perkahwinan dan bulan madu yang romantik malah juga sesuai untuk percutian keluarga. Antara anugerah yang pernah dirangkul adalah Best Family Vacation Destination Award 2022.

Bilik Penginapan

Saya menginap di Two Bedroom Villa. Terdapat satu bilik utama dengan katil King Size, satu bilik dengan dua katil berkembar dan satu lagi bilik bacaan yang dilengkapi dengan sofa panjang dan meja bekerja.

Villa ini juga mempunyai ruang tamu dengan tv dan sofa dan peti ‘mini bar’. Secara keseluruhan villa ini bersih dan besar untuk satu keluarga atau kumpulan kecil seramai 4-5 orang. 

Saya berpuas hati dengan keselesaan tilam dan bantal namun begitu saya merasakan pengcahayaan dalam kesemua tempat dalam bilik ini perlu ditambah baik. Contohnya meja solek yang tiada lampu itu agak mengecewakan dan susah untuk berhias.

Peralatan mandian (toiletries) yang disediakan adalah mencukupi namun dari segi kualiti, saya tak berapa pasti. Mungkin juga AVANI boleh beralih ke arah pilihan yang lebih mesra alam dengan menyediakan set sabun dan syampu dalam bekas isi semula dan bukannya botol kecil sekali guna.

Villa yang saya menginap ini juga mempunyai balkoni yang mengadap bahagian utara. Tingkap di kesemua bilik pun sama jadi tak dapatlah pemandangan terus matahari terbit atau terbenam dari bilik. 

Pada hari saya mendaftar masuk sekitar jam 1 tengah hari, air laut tengah surut sampai nampak tanah berpasir. Tiada anak ikan atau apa-apa hidupan laut yang menangkap pandangan mata saya. Tetapi menjelang senja, air mulai pasang. Jika anda tidur dengan tingkap terbuka, anda boleh mendengar ‘white noise’ semulajadi iaitu deruan angin dan ombak kecil.

Pada waktu malam, bersantai di balkoni bersama teh panas atau air tin sejuk juga mengasyikkan. Patutlah suasana romantik di AVANI ini menjadi pilihan pasangan bercinta.

Sekitar waktu pagi keesokan harinya, air pasang penuh dan berwarna jernih kehijauan. Air laut juga tenang dan pagi sedikit mendung.

Aktiviti di AVANI

Sudah tentunya apabila menginap di bilik yang selesa, saya rasa ingin menghabiskan masa dengan bermalas-malasan dalam bilik sahaja. Tetapi sebenarnya saya tidak boleh menolak daripada melakukan aktiviti-aktiviti menarik di AVANI ini.

Pada sebelah petang, saya dan rakan-rakan bermain ATV di sekitar pantai. Walaupun kawasan ATV tidak luas tetapi cukuplah untuk merasai pemanduan di atas pasir dan juga trek mini yang disediakan.

Sukaneka juga ada seperti memanah dan menembak tin. Untuk yang gemar sukan air, anda boleh melakukan stand up paddle dan jet ski juga.

Setiap malam hujung minggu, anda boleh menyaksikan Fire Show di Smiley Beach secara percuma. Memang amat memukau persembahan api ini.

@zahirahanafi Magnificent show #avanisepang #pusingselangordulu #tourismselangor #discoverselangor #fireshow🔥 ♬ Trap

Selain itu, anda boleh menyertai lawatan (tours) seperti menanam pokok buah naga dan menaiki perahu menyelusuri kawasan paya bakau. Melawat Kampung Banghuris juga nampak menarik untuk merasai pengalaman dan suasana kampung di Selangor.

Nak yang lebih lokal dan percuma? Berjalan kaki saja ke Pantai Bagan Lalang. Pantai ini cuma terletak bersebelahan dengan AVANI. Tarikan di sini tentunya restoran ikan bakar dengan pelbagai jenis makanan laut yang segar.

Restoran dan Coffee House

Tidak lengkap percutian di AVANI jika tidak merasa masakan yang sedap-sedap di sini. Semua penginapan di AVANI disertakan dengan bufet sarapan pagi. Saya berpeluang menikmati makan tengah hari, makan malam dan juga sarapan.

Sementara menunggu bilik selepas mendaftar masuk, saya menikmati makan tengah hari di restoran Sepoi-Sepoi. Restoran ala cabana ini terletak di tepi pantai. Pada waktu malam, restoran ini menjadi pilihan candle light dinner disebabkan kedudukan dan persekitarannya yang romantik.

Rating: 4/5

@zahirahanafi Who wants a dinner date with sunset view overlooking the sea? #avanisepang #pusingselangordulu #tourismselangor #discoverselangor #FoodFestOnTikTok ♬ original sound – Hera Goddess🧝‍♀️

Pada sebelah malam, saya memenuhkan perut dengan hidangan Chinese Dinner di restoran Hai Sang Lou. Sungguh enak-enak belaka setiap sajian yang dihidangkan. Di sini ada private room yang boleh memuatkan sehingga 20 orang dalam satu masa.

Rating : 5/5

Kemudian, saya dan rakan-rakan berehat dan berborak di The Pantry sambil menikmati kopi dan jus. The Pantry menyajikan makanan ringkas delicatessen seperti salad, sandwich dan kek.

Rating : 3.5/5

Keesokkan paginya, saya bersarapan seperti juara haha. Mana tidaknya, hidangan bufet di restoran Bila-Bila ini agak banyak dan pelbagai. Nasi lemak di sini tidak mengecewakan. Cuma kena berhati-hati apabila anda meninggalkan makanan di meja, terutama jika anda duduk berhampiran kolam renang. Ini kerana terdapat beberapa ekor burung gagak yang memerhatikan makanan anda.

Rating : 3.5/5

Spa

Saya tidak berpeluang untuk merasai spa di AVANI tetapi sempat untuk melawat ke dalam bilik spa. Urutan spa di sini menggabungkan teknik Swedish dan Balinese untuk memberikan kelegaan maksimum pada otot-otot yang tegang.

Di samping itu, anda juga boleh mencuba urutan Malaysia. Namanya sedemikian kerana menggabungkan ketiga-tiga urutan tradisional kaum di Malaysia secara harmoni.

Pakej-pakej lain yang terdapat di AVANISpa ini termasuklah Aromatheraphy Massage, Foot Massage, Body Glow, Hot Stone Massage dan Facial.

Rawatan badan juga disediakan seperti Lemon Salt Body Scrub dan Javanese Lulur Body Scrub. Dengar pun best kan. Last saya buat body treatment ni di spa kolam air panas di Korea. Terkenang pula urutan tangan ajumma tu, bestnya..

Fasiliti dan Hospitaliti

Disebabkan saiz resort ini yang besar, terletak di atas laut dan cuaca Khatulistiwa yang panas disertai hujan, pihak AVANI menyediakan khidmat buggy sepanjang masa. Untuk memudahkan lagi pergerakan, anda boleh berbasikal sahaja ke sana ke mari.

Dari segi kemudahan lain, saya merasakan bahawa memandangkan resort ini hampir setiap masa dalam keadaan cuaca panas, mungkin pihak AVANI boleh mula menyediakan water station di beberapa tempat. Galakkan tetamu untuk membawa botol sendiri dan mengisi air terutama semasa melakukan aktiviti luar.

Layanan staf AVANI juga amat mesra dan penuh senyuman. Terima kasih kerana melayan kami semua dengan baik.

Tentunya penginapan di AVANI Sepang ini memberikan pengalaman yang menyeronokkan bagi saya dan rakan-rakan. Adakah anda pernah menginap di sini? Kongsikan pengalaman dan tips di ruangan komen. Jika belum, masukkan AVANI Sepang Goldcoast Resort dalam bucket list travel anda sekarang!

Klook.com
**********************************************
Tempah bilik di AVANI Sepang di SINI.
Dapatkan diskaun dengan memasukkan kod ZAHIRA5OFF.

AVANI Sepang Goldcoast Resort,
67, Jalan Pantai Bagan Lalang, Kg. Bagan Lalang,
43950 Sungai Pelek, Selangor, Malaysia
Tel : 603 31823600
Website: https://www.avanihotels.com/en/sepang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »