Hebat-hebat belaka para peserta yang berentap dalam program keusahawanan Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 yang telah berlangsung selama 3 bulan bermula bulan April baru-baru ini.
Program berimpak tinggi tersebut yang mendapat kerjasama Selangor Youth Community (SAY) bermatlamat untuk memperkasakan wanita B40 melalui pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan yang mampan melalui peluang perniagaan. Bertuah betul peserta-peserta yang terpilih kerana mereka mendapat latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan.
Apa yang menanti mereka di masa hadapan semestinya satu peluang yang telah terbuka luas dan tidak harus disia-siakan. Saya dapat merasakan aura semangat mereka yang berkobar-kobar untuk memperbaik taraf kehidupan masing-masing kerana saya sempat bertemu dan berbual untuk mengenali latar belakang mereka dan produk-produk yang dibawa.
Untuk informasi pembaca, seramai 100 usahawan wanita telahpun diberi pendedahan melalui seminar perniagaan dan kemudian, 30 peserta yang komited telah dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor.
Maka, pada 21 Jun 2023 tempoh hari, 10 usahawan terbaik (best 10) berjaya layak ke pusingan akhir di mana mereka telah membuat pembentangan perniagaan (pitching) di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Alhaj, Raja Muda Selangor.
Empat lagi juri berpengalaman turut bersama Tuanku Raja Muda Selangor iaitu:
- YBrs. Pn Intan Nur Aqielah binti Ismail (Penolong Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.
- YBrs. En Mohammad Syukri bin Ismail, Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH).
- YBrs. Pn. Nurul Balkhis Arshad, Pegawai Pembangunan MARA Selangor.
- YBrs. Cik Aida binti Zunaidi, Pengasas Ibupreneurs.
Dalam ucapan penutup, YB Rodziah Ismail mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menghabiskan program Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 yang telah berlangsung selama tiga bulan.
“Melalui program ini, patik serta hadirin lain telah menyaksikan semangat, keberanian dan ketekunan yang luar biasa daripada setiap peserta wanita kita. Anda telah menunjukkan potensi yang tidak terbatas dalam dunia perniagaan. Setiap idea, langkah dan halangan yang dihadapi adalah penting demi masa depan diri dan keluarga yang lebih baik. Liga Usahawan Wanita Selangor bukan hanya sekadar pertandingan kalah ataupun menang, tetapi adalah terarah kepada mewujudkan sebuah komuniti wanita yang saling bantu-membantu.”
YB Rodziah Ismail
Di akhir pembentangan, tiga usahawan telah memenangi pusingan akhir ini seterusnya dinobatkan sebagai Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor 2023. Pemenang membawa pulang trofi Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 dan geran bernilai RM3,000 seorang.
Tiga pemenang Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 adalah:
- Tempat Pertama : Pn. Sofea Chan Shu Fen Binti Abdullah (PopYummy)
- Tempat Kedua : Pn. Nor Sabrina Binti Nor Saidi (Shidi Steering Cover)
- Tempat Ketiga : Pn. Fauziah Binti Abdus Somad (Parre Chips)
Di samping itu, seramai 21 peserta lain turut menerima geran perniagaan bernilai RM1,000 seorang untuk membantu mereka memulakan perniagaan mikro masing-masing.
TENTANG SELANGOR YOUTH COMMUNITY
Selangor Youth Community (SAY) telah ditubuhkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor pada tahun 2017. SAY ialah sebuah badan bukan kerajaan, bukan politik dan bukan berasaskan keuntungan yang berusaha untuk melahirkan belia yang dinamik dan progresif di negeri Selangor.
Berdasarkan kajian dan bengkel yang dijalankan oleh Boston Consulting Group dalam mengenal pasti belia di Selangor, SAY berteraskan empat (4) teras utama iaitu Keusahawanan, Sukan dan Kesejahteraan, Seni dan Kreatif, dan Khidmat Masyarakat. Empat fokus utama ini sejajar dengan kepentingan belia di negeri Selangor.
Sehingga 2022, SAY telah memberi impak positif kepada seramai 310,738 belia, bukan sahaja tertumpu di negeri Selangor malah juga di seluruh Malaysia melalui lebih 200 inisiatif dan program bermula dari tahun pertama penubuhan sekaligus menghasilkan pulangan sosial pelaburan (SROI) sebanyak 1:3.03. SAY juga menjalankan program dan inisiatif holistic melalui rakan kongsi daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat komuniti untuk mengenal pasti jurang dalam ekosistem dalam memastikan tiada komuniti yang tercicir.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Liga Usahawan Wanita Selangor 2023, sila layari laman sesawang di https://entrepreneurshipselangor.com.my/luws/