Saya dah lama tidak dapat menghayati konsep rumah terbuka. Saya berpendapat rumah terbuka sekarang menyimpang daripada tujuan sebenar rumah terbuka diadakan.
Kalau ikutkan saya, berhari raya ni maksimum 5 hari je atau seminggu. Macam dulu-dulu semasa di membesar di kampung. Kemeriahan beraya tu cuma beberapa hari.
Kalau kita kata, masa ni lah kita nak ziarah saudara mara dan kawan-kawan, apakah bangsa dan agama lain takkan mengziarahi sesama mereka disebabkan mereka tak raya sebulan?
Memang kita takkan sempat penuhi undangan rumah terbuka pun. Dah la sekarang ni, jalan raya semakin sesak. Begitu kental menghadap trafik dan menghabiskan masa di atas jalan raya dari pagi ke tengah malam.
Akhirnya, terpaksa hubungi tuan rumah, maaf tak dapat nak singgah sebab masih terkandas. Lepas ni kena ke tempat lain pula. Bukan ke tak manis macam tu? Daripada 7 undangan hari tu, boleh pergi 4 tempat je. Itupun yang 7 tu kita dah saring, rumah siapa yang kita nak pergi. Betul kan?
Bagaimana pula dengan bab makanan?
Ini salah satu lagi sebab yang saya tak teruja sebab hampir kebanyakan tuan rumah akan menghidangkan lauk katering. Tuan rumah biasanya akan jamu satu bahagian masak sendiri, satu lagi yang segera atau ditempah.
Tapi bukan makanan yang kita nak hadap sangat kan? Nak bermesra tu yang penting.
Maka kita tengok bab seterusnya iaitu masa. Masa yang kita harap tu macam kalau pergi beraya nanti boleh bersembang, betul-betul manfaatkan peluang berjumpa dan berziarah ni.
Tapi alih-alih, tuan rumah terlampau sibuk melayan tetamu. Tetamu pula kena layan diri buat macam rumah sendiri, anak-anak melepak kat bucu main game atau media sosial.
Mungkin janggal kalau kita pula yang hubungi tuan rumah, cakap nak datang beraya ni.
Atau kalau kita sebagai tuan rumah, undang beberapa orang yang kita rasa nak ajak je untuk lepak makan-makan. Nanti orang lain tahu, kecil hati. Tahu pun melalui medsos sebab rajin nak upload gambar.
Atas sebab tu, saya berpendapat seperti awal-awal tadi, berayalah untuk beberapa hari je. Bila tiada rumah terbuka atau open house dah, semua pun jadi normal.
Rumah terbuka hanya untuk menziarah dan bermesra sahaja. Tapi tanpa rumah terbuka, kita boleh jimat masa, menjaga perasaan, kawal belanja, tidak membazir makanan, tidak makan berlebihan, dan macam-macam lagi.
Nak tunjuk peduli, tak perlu tunggu tuan rumah ajak open house baru nak merapatkan silaturrahim (tapi kena layan diri pula sebab tuan rumah sibuk?).
Kalau tak ajak, mesti kita tak ada peduli nak datang jenguk mereka pun kan?
Just my unpopular opinion.