ALC Fashion Gala: Menyulam Perpaduan ASEAN Melalui Kebaya & Sarong

ASEAN Ladies’ Circle (ALC) telah menganjurkan ALC Fashion Gala: Menyulam Perpaduan ASEAN Melalui Kebaya & Sarong (Threading ASEAN Unity Through Kebaya & Sarong) pada 22 November 2024 di Dewan Siti Hasmah, PUSPANITA, Kuala Lumpur. Acara ini bertujuan meraikan kekayaan warisan budaya ASEAN dan mempromosikan perpaduan serantau melalui fesyen, budaya dan masakan serta meraikan pencalonan kebaya ikonik multi-nasional ke dalam senarai UNESCO’s Intangible Cultural Heritage of Humanity. Ia juga merupakan solidariti ALC dan kedutaan ASEAN di Kuala Lumpur dalam menyokong penglibatan Malaysia dalam ASEAN Chairmanship pada 2025.

Fashion Gala ini telah diilhamkan oleh ALC Thailand sebagai acara pengumpulan dana tahunan di bawah kepimpinan H.E. Puan Lada Phumas, Duta Besar Thailand ke Malaysia yang merupakan Presiden ALC untuk penggal 2024-2025. Acara ini dianjurkan bersama oleh 10 negara anggota ALC di Kuala Lumpur dengan Kedutaan Diraja Thailand, Kementerian Luar Negeri Malaysia, ALC Malaysia dan Perwakilan sebagai penaja bersama dan penyokong utama.

Dari kiri: Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Presiden ALC, H.E. Puan Lada Phumas dan YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin, Penaung ALC Kuala Lumpur (Isteri Menteri Luar Negeri).

Dalam ucapan aluan, Presiden ALC, H.E. Puan Lada Phumas menekankan objektif dan kepentingan acara bertemakan Menyulam Perpaduan ASEAN Melalui Kebaya & Sarong bagi mencerminkan perpaduan dan kekayaan warisan budaya rantau ini melalui pakaian tradisional yang melambangkan keanggunan, ketahanan dan penghormatan budaya tempatan. Ucapan perasmian telah disampaikan oleh YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin, Penaung ALC Kuala Lumpur (Isteri Menteri Luar Negeri) yang memuji semangat kerjasama ALC dan inisiatif mereka dalam projek ALC Fashion Gala.

YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menyampaikan ucapan mengenai komitmen Kerajaan Malaysia dalam memupuk kerjasama untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya ASEAN. Beliau juga menekankan peranan penting MOTAC dalam pencalonan multi-nasional oleh 5 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura ke UNESCO dengan keputusan yang akan diumumkan pada 6 Disember 2024 di Paraguay.

Menjamu selera hidangan pelbagai negara ASEAN.

Sorotan acara yang diatur termasuklah pertunjukan fesyen oleh negara ASEAN, persembahan budaya, jamuan makanan tradisi negara ASEAN, acara lelongan tiga karya seni dan cabutan bertuah berupa tiket penerbangan dari Thai Airways dan AirAsia, baucar penginapan hotel, spa dan kraftangan.

Penulis memenangi saguhati cabutan bertuah.
Road to UNESCO.

MOTAC juga menyediakan papan maklumat mengenai evolusi dan kepentingan kebaya serta perjalanannya ke UNESCO. Kebaya dan perhiasan yang dipamerkan di acara ini turut diterbangkan khas oleh Persatuan Peranakan Thailand. Hasil daripada jualan tiket, lelongan dan sumbangan akan disalurkan kepada Dana ALC untuk inisiatif kebajikan masa depan yang akan memberi manfaat kepada komuniti di Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »