Unik! Melihat Tulip Berbunga Dalam Iklim Tropika

I saw my first tulip in Malaysia!

Kalau sebut bunga tulip, mesti terbayang negara beriklim sejuk macam Belanda. Tapi baru-baru ni, saya berpeluang tengok sendiri bunga tulip yang ditanam di Malaysia melalui lawatan ke projek khas di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands (TATMCH) bersama MARDI. Sememangnya trip ini satu pengalaman yang lain daripada yang lain.

Projek tanaman tulip ini merupakan inisiatif daripada pihak pengurusan tertinggi untuk memperkenalkan bunga beriklim sejuk ke negara tropika seperti Malaysia. Sudah tentu, semuanya dijalankan dalam persekitaran terkawal supaya tulip boleh hidup dan berbunga walaupun dalam cuaca panas, dingin dan lembap.

Dekat sini, ada dua jenis tulip utama yang ditanam iaitu Tulipa gesneriana atau Garden Tulip dan Tulipa clusiana yang dikenali sebagai Lady Tulip. Secara keseluruhan, setakat ini sekitar 1,500 anak pokok ditanam. Apabila dapat tengok sendiri bunga-bunga ni berkembang, memang cantik dan rasa tak percaya bunga ni ada dekat Malaysia je.

Tapi sebenarnya, proses di sebalik keindahan itu agak mencabar. Cuaca Malaysia yang panas dan lembap memang bukan habitat semulajadi tulip. Tambahan pula dengan kesukaran mendapatkan bebawang yang berkualiti, risiko penyakit dan kulat serta kos penyelenggaraan yang tinggi, semua ini memerlukan pengurusan yang sangat teliti.

Antaranya penggunaan sistem rumah hijau untuk mengawal suhu dan kelembapan. Ada juga teknik khas seperti penyejukan bebawang atau vernalization untuk “menipu” kitaran semula jadi tulip supaya mampu berbunga dalam persekitaran kita. Sistem pengairan pun dikawal rapi, sebab tulip ni sangat sensitif dengan haba dan keadaan sekeliling.

Dari segi tempoh, tulip mengambil masa sekitar 8 hingga 12 minggu dari peringkat penanaman hingga berbunga. Kemudian selepas berbunga, pihak MARDI akan menyimpan atau incubate bebawang baru selama 6 bulan sebelum ditanam lagi. Maka, kitaran bunga tulip ini hanya setahun sekali iaitu dalam bulan April.

@zahiragram It's that time of the year again 🌷 #tulipmardi #tulipcameronhighlands #tulipmalaysia @MARDI MALAYSIA @MARDI CAMERON HIGHLANDS ♬ Atlantis (Sped Up Version) – Seafret & sped up + slowed

Apa yang saya nampak, projek ni bukan sekadar eksperimen pertanian semata-mata. Ia ada potensi besar dalam sektor agro-pelancongan dan industri florikultur negara. Bayangkan lebih ramai pelancong boleh datang untuk lihat tulip tanpa perlu ke luar negara dan dalam masa yang sama kita dapat menambah variasi bunga tempatan dan membuka peluang ekonomi baru. Atas faktor iklim juga, kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands lebih sesuai untuk penanaman secara lebih meluas.

Tentang Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands (TATMCH)

Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands (TATMCH) merupakan salah satu Pusat Kecemerlangan Pertanian Hijau di Malaysia. Taman ini telah dirasmikan oleh Almarhum KDYMM Sultan Pahang pada 14 Jun 2003 dan merupakan salah satu daripada taman agroteknologi yang dibangunkan di negara ini.

TATMCH bertindak sebagai pusat pengumpulan (one stop centre) agropelancongan yang bukan sahaja menyediakan dan mengekalkan suasana landskap yang indah serta menarik tetapi juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rekreasi untuk pengunjung. Dalam masa yang sama, ia berperanan sebagai wadah pembangunan, penggunaan dan pemindahan teknologi pertanian samping menjadi pusat penyebaran pengetahuan serta ruang pembelajaran kepada pelawat.

Melalui lawatan ke taman ini, pelawat berpeluang mempelajari pelbagai aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi, bermula daripada proses penanaman sehingga kepada peringkat pemprosesan produk. Selain itu, pelawat juga dapat menikmati keindahan taman serta menghargai nilai sejarah dan warisan pertanian yang terdapat di kawasan ini.

Antara tarikan utama yang terdapat di sekitar kawasan ini termasuk ladang teh tertua di Malaysia yang telah bertapak sejak tahun 1927, kilang teh pertama di Malaysia yang mula beroperasi pada tahun 1935, taman bunga berkonsepkan Inggeris yang menampilkan landskap klasik yang tersusun serta tanaman buah-buahan sub-tropika yang sesuai dengan iklim tanah tinggi Cameron Highlands.

Personally, pengalaman ini membuatkan saya lebih menghargai usaha penanaman seumpama ini. Tulip di Malaysia bukan sekadar menghasilkan bunga tetapi hasil gabungan teknologi, penyelidikan dan kesungguhan untuk membawa sesuatu yang “mustahil” menjadi realiti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »