eTomAato: Tomato Itali Premium Kini di Malaysia

Kalau sebut tomato, kita mesti terbayangkan bahan asas dalam sambal, sup, atau pasta. Kini, Itali membawa masuk tomato premium mereka terus ke Malaysia melalui kempen yang dinamakan eTomAato: European Tomato, A Red Passion.

Kempen ini baru sahaja dilancarkan di pameran Food & Hospitality Malaysia (FHM) 2025 dan bakal berjalan selama dua tahun. Ia dianjurkan oleh Kedutaan Itali di Kuala Lumpur bersama Italian Trade Agency (ITA) dengan sokongan Kesatuan Eropah.

Apa yang istimewa tentang eTomAato ni?

Pertama, ia mewakili lebih 70 pengeluar tomato Itali yang memang terkenal dengan kualiti tinggi, rasa asli Mediterranean serta standard keselamatan makanan yang ketat. Jadi pengguna Malaysia termasuk restoran, chef dan pengeluar makanan dapat merasai sendiri tomato yang digunakan dalam pelbagai masakan Itali yang kita kenal seperti pasta, pizza dan sos klasik.

Menurut Dr. Angela Donvito dari Italian Trade Agency, eTomAato bukan hanya menjual tomato tapi lebih kepada membina hubungan jangka panjang dan memberi inspirasi kepada industri makanan tempatan. Tomato Itali ini dihasilkan dengan kaedah yang lestari dan boleh dikesan sumbernya, jadi memang sesuai untuk pengguna moden yang lebih peka pada kualiti dan kelestarian.

“eTomAato merapatkan jurang antara warisan tomato berusia ratusan tahun di Eropah dengan inovasi kulinari dinamik Asia,”
Dr. Angela Donvito

Secara statistiknya antara Januari hingga Mei 2025, Itali telah mengeksport tomato bernilai lebih €1.17 bilion ke seluruh dunia. Malaysia sendiri mengimport sekitar €8.58 juta produk tomato dalam tempoh sama dengan Itali menjadi pembekal kedua terbesar. Ini menunjukkan orang Malaysia memang ada selera dan minat terhadap tomato Itali.

Sepanjang dua tahun akan datang, kita boleh nantikan seminar industri, sesi merasa di kedai dan kolaborasi dengan chef terkenal yang akan menunjukkan bagaimana tomato Itali boleh dipelbagaikan dalam masakan tempatan. Bayangkan spaghetti bolognese klasik dengan tomato premium Itali atau mungkin chef Malaysia bereksperimen dengan rendang tomato versi moden?

Secara ringkas, eTomAato berhasrat untuk membawa masuk bahan mentah berkualiti tinggi dan mencipta ruang kolaborasi antara tradisi Eropah dan kreativiti Asia. Dan bagi kita sebagai pengguna, ini peluang untuk menikmati rasa Mediterranean yang asli terus dari tanah Itali ke dapur Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »