
Kadang-kadang, perbualan yang paling penting menjadi lebih mudah apabila suasananya santai dan bukan terlalu klinikal atau formal. Itu yang cuba dibawakan oleh Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) menerusi sesi pertama “Sip & Share” mereka.
Dengan kerjasama KitaParents, sesi ini direka dalam konsep santai di sebuah kafe untuk membuka ruang perbualan jujur tentang kesihatan wanita iaitu perimenopaus.
Diadakan pada 17 Mac 2026 di Cyberjaya, sesi bertemakan “Perimenopause Unfiltered” ini juga menandakan pelancaran kempen 2026 PHKL, “What Women Want (For Health)” yang merupakan suatu inisiatif untuk menjadikan PHKL sebagai ruang selamat bagi wanita memahami perjalanan kesihatan mereka dengan lebih terbuka.
Memecahkan Stigma Perimenopaus
Hakikatnya, perimenopaus masih kurang difahami oleh ramai wanita.
Simptom yang dialami sering dianggap sebagai stres, keletihan atau sekadar faktor usia. Sedangkan sebenarnya, tubuh sedang melalui perubahan hormon yang amat besar.
Sesi ini dikendalikan oleh Dr Premitha Damodaran, Pakar Obstetrik dan Ginekologi di PHKL serta ahli lembaga International Menopause Society.
Perkongsian beliau bukan sekadar mengenai fakta perubatan tetapi juga lebih kepada membuka ruang untuk wanita berkongsi pengalaman mereka sendiri. Ramai yang akhirnya berani bercakap dan bertanyakan soalan tentang perkara yang selama ini dipendam.
Satu perkara yang jelas, wanita tak perlu lagi berdiam diri.
Apa yang membezakan sesi ini ialah suasananya. Bukan seperti ceramah kesihatan biasa tetapi lebih mesra, santai dan dekat dengan kehidupan seharian. Ad peserta terdiri daripada ibu-ibu dalam komuniti KitaParents dan Parenthood menjadikan suasana lebih relatable bersama wanita dari pelbagai peringkat usia.
Perbualan dipandu dengan kad soalan seperti:
• “Perkara yang saya ingatkan stres… tapi mungkin bukan”
• “Simptom yang saya Google pukul 2 pagi tapi tak pernah berani tanya sesiapa”
Jujur, ramai boleh relate dengan situasi ini.
Selain itu, sesi Q&A secara anonim juga memberi peluang kepada peserta untuk bertanya tanpa rasa segan atau takut dihakimi.
Lebih daripada sekadar sesi perkongsian
Majlis diteruskan dengan sesi Buka Puasa dan networking yang menambahkan lagi kehangatan suasana.
Dari situ, jelas nampak bagaimana perbualan kecil boleh membawa kepada rasa sokongan yang besar dan rasa difahami khasnya topik perimenopaus yang merupakan satu fasa besar dalam kehidupan wanita tetapi masih kurang dibincangkan secara terbuka.
Inisiatif seperti “Sip & Share” membantu merapatkan jurang antara pengetahuan perubatan dan pengalaman sebenar wanita. Ia juga memberi kesedaran bahawa apa yang dialami itu adalah normal dan ada bantuan yang tersedia.
Akhirnya, semuanya bermula dengan kesedaran dan tiada wanita sepatutnya melalui fasa ini seorang diri.