
Setiap kali bulan September datang, saya selalu ternanti-nantikan acara Keretapi Sarong. Jadi pada 2 September lepas saya sempat hadiri pelancaran Keretapi Sarong x RapidKL (KS25) dan rasa excited nak kongsikan dengan anda. Tahun ini, acara ikonik sambutan Hari Malaysia tu akan berlangsung pada 13 September 2025, memasuki edisi ke-9 dengan tema “Serumpun”.
Kalau anda tak pernah dengar tentang Keretapi Sarong, bayangkan ribuan orang dari pelbagai latar belakang dengan majoriti akan memakai sarong berkumpul di stesen tren. Mereka bergerak sama-sama menaiki tren (keretapi) dan akhirnya bertemu di checkpoint rahsia dalam suasana penuh warna, muzik, budaya dan gelak ketawa. Tahun ini ada 11 stesen permulaan di Lembah Klang iaitu Subang Jaya, Kajang, KL Sentral, Putrajaya Sentral, UPM, Gombak dan beberapa lagi stesen yang terpilih. Info semasa tentang ini boleh didapati di laman sosial Keretapi Sarong di Instagram dan Telegram.
Apa yang buat saya lebih kagum, KS25 kini dah jadi acara nasional. Selain KL, tahun ni juga akan berlangsung serentak di George Town, Ipoh, Kuantan, Sungai Petani, Pasir Mas, Johor Bahru dan terbaru Melaka. Malah di luar negara pun ada. Berlin dan Melbourne dah pun diraikan pada 31 Ogos, sementara London dan Sydney akan berlangsung pada tarikh sama dengan kita di sini.

Tema Serumpun tahun ini dipilih untuk mengingatkan kita bahawa perpaduan tak pernah terbatas pada geografi. Kita berkongsi warisan, budaya dan rentak hidup yang sama bukan saja sebagai rakyat Malaysia, tapi juga sebagai sebahagian daripada komuniti ASEAN. Dan sarong itu sendiri menjadi simbol mudah tapi bermakna: kain yang dipakai ramai bangsa, tetapi setiap helaian bila digabungkan membentuk corak yang indah.
Selain perjalanan dengan sarong, ada macam-macam pengisian menarik. RapidKL sebagai rakan utama akan pastikan pengangkutan bergerak lancar. MAGGI pula akan memperkenalkan perisa baru iaitu Sup Ayam Berempah, yang mana peserta KS25 boleh menjadi antara yang pertama untuk mencuba. KWSP hadir dengan kempen Merdeka Daripada Scam (#KWSPAntiScam), siap ada trak interaktif dan kuiz “Real atau Scam?” untuk latih orang ramai lebih peka dengan penipuan kewangan. ZUS Coffee pun ada dengan pelancaran ZUS Ngupi® dan koleksi Corak Malaysia, selain aktiviti “Kopi Sarong, Kopi Kita” yang menekankan kopi sebagai penghubung harian kita. Tourism Selangor pula menggunakan platform ini untuk tonjolkan kepelbagaian budaya negeri dalam kempen Visit Selangor 2025.
Itu belum masuk senarai panjang rakan jenama lain yang sama-sama menyokong seperti Gardenia, One Drop Perfumes, Bulan Bintang, AirAsia, Yeo’s, Nando’s, TGV, Media Prima dan banyak lagi. Bila tengok semua pihak bersatu tenaga, rasa macam KS25 bukan lagi acara kecil-kecilan tapi betul-betul menjadi perayaan rakyat setiap kali tiba sambutan Hari Malaysia.

Bagi saya, itulah kekuatan Keretapi Sarong. Nampak sederhana tapi impaknya besar. Setiap kali tengok gambar orang ramai bersarong dalam tren, menari, menyanyi atau sekadar tersenyum sesama sendiri, saya rasa ada sesuatu yang kita jarang dapat dalam kehidupan harian iaitu rasa kebersamaan. Tahun ini dengan tema Serumpun, mesej tu lagi jelas. Kita mungkin berbeza tapi kita tetap terikat dalam satu keluarga besar.
Saya sendiri tak sabar nak turun 13 September nanti. Kalau anda pun rasa nak merasai vibe meriah Hari Malaysia dengan cara yang lain, jomlah join. Percayalah, pengalaman Keretapi Sarong ni akan buat anda tersenyum lama, mungkin sampai tahun depan apabila ia akan kembali lagi.