Yu Ting & Chef Martin Yan Meraikan 68 Tahun Kecemerlangan, Warisan dan Legasi

Saya telah menghadiri satu majlis yang sangat bermakna bertajuk “An Evening with Yu Ting & Chef Martin Yan” yang berlangsung di Sun Gourmet TRX. Majlis ini dianjurkan oleh Yu Ting Trading Sdn Bhd sempena ulang tahun ke-68 mereka yang meraikan perjalanan panjang sebuah jenama yang dibina atas dasar warisan, ketekunan dan hubungan manusiawi.

Tema malam tersebut ialah “Engineering Heritage, Timeless Culinary and Inheritance” 器食相生,薪火傳承, yang membawa maksud warisan bukan sekadar diwariskan melalui alat atau teknologi, tetapi melalui manusia, nilai dan kemahiran yang disampaikan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Ia terasa sangat relevan sepanjang malam itu, dari penceritaan jenama sehinggalah kepada hidangan yang disajikan.

Acara ini menghimpunkan rakan niaga, wakil media, VIP dan tokoh tokoh penting industri. Antara yang hadir ialah Chef Martin Yan, ikon kulinari bertaraf dunia, Chef Sun selaku Founder Sun Gourmet TRX, Mr. Chong Kam Fai Presiden Selangor & Federal Territory Ku Su Shin Choong Hung Restaurants Association, Mr. Lim Tien Song Naib Presiden Malaysia Tea Association, Dr. Peggy Chong dan Lily Chong dari World Gourmet serta Mr. Low Kuang Lian Presiden Selangor & Kuala Lumpur Chinaware Merchants Association.

Majlis dimulakan dengan tayangan video jenama Yu Ting yang mengisahkan perjalanan mereka merentasi lebih lapan dekad. Ia menonjolkan semangat kental, kemajuan dan kepercayaan yang berterusan. Satu falsafah yang sangat menarik perhatian saya ialah “机器是进步,人工是传承”, yang membawa maksud mesin melambangkan kemajuan, tetapi warisan sebenar hidup dalam tangan manusia.

Ucapan pertama disampaikan oleh Mr. William Lee, Managing Director Yu Ting Trading Sdn Bhd. Beliau berkongsi tentang perjalanan syarikat, komitmen terhadap inovasi serta pendekatan yang sentiasa meletakkan manusia sebagai teras. Beliau menekankan bahawa kejayaan Yu Ting bukan sekadar tentang alat atau teknologi, tetapi tentang nilai, integriti dan keberanian untuk terus maju sambil memelihara semangat yang membentuk jenama ini.

Chef Martin Yan kemudiannya berkongsi pandangan beliau sebagai seorang chef, pendidik dan duta masakan Asia di peringkat global. Kata-katanya penuh kebijaksanaan dan kerendahan hati, tentang kepentingan asas memasak, disiplin dan kesetiaan kepada minat dalam membina kerjaya jangka panjang.

Chef Sun pula berkongsi tentang visi beliau dalam mengangkat masakan Asia ke peringkat dunia tanpa mengorbankan identiti dan jiwanya. Sebagai individu di sebalik menu malam tersebut, beliau menekankan keseimbangan antara tradisi dan inovasi.

Memandangkan saya dan kawan-kawan Muslim yang lain dihidangkan dengan sajian Halal yang berlainan, saya sempat bertanyakan rakan-rakan yang menikmati hidangan yang disajikan oleh pasukan Sun Gourmet. Mereka berpendapat masakan yang dihidangkan benar-benar mencerminkan tema malam itu. Setiap sajian terasa teliti, halus dan penuh karakter, mencerminkan ketukangan kulinari yang diwarisi dan diperkaya dengan sentuhan moden.

Antara saat yang paling dinantikan ialah Persembahan Pisau ikonik Chef Martin Yan diikuti dengan demonstrasi memasak secara langsung. Beliau turut menjemput seorang blogger untuk memasak bersama. Satu detik yang spontan, menghiburkan dan penuh keikhlasan dalam berkongsi ilmu.

Satu lagi segmen menarik ialah sesi bual bicara “The Legacy, The Future” yang menampilkan Chef Martin Yan, Mr. William Lee dan Chef Sun dengan Mr. Chong Kam Fai sebagai moderator. Perbincangan ini menyentuh tentang legasi, bimbingan, inovasi dan masa depan industri kulinari dan hospitaliti. Setiap panelis membawa perspektif berbeza tetapi berkongsi nilai yang sama tentang kepentingan manusia dan nilai dalam membina masa depan.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada para panelis dan tetamu kehormat atas sumbangan serta kehadiran mereka.

Sebagai tetamu yang dihargai, malam itu terasa lebih daripada sekadar satu acara korporat atau majlis makan malam eksklusif. Ia adalah sebuah peringatan bahawa di sebalik teknologi, jenama dan kejayaan, warisan sebenar terletak pada manusia, hubungan dan nilai yang dijaga dengan penuh kesedaran. Selepas 68 tahun, Yu Ting Trading terus melangkah ke hadapan dengan keyakinan, berinovasi dengan tujuan dan kekal berakar pada prinsip yang membentuk siapa mereka hari ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »