Persembahan Teater Muzikal “Paduka Cik Siti” di Putrajaya

Saya ke Rumah Tangsi tempoh hari sempena sidang media Teater Muzikal Paduka Cik Siti. Majlis pengumuman dipenuhi aura seni, sejarah dan semangat perjuangan yang memang terasa dari awal hingga akhir.

Daripada sesi perkongsian pasukan produksi, saya mudah memahami kenapa naskhah ini begitu istimewa. Paduka Cik Siti mengangkat kisah Cik Siti Wan Kembang, seorang Raja wanita Melayu yang berdiri teguh mempertahankan negeri, maruah dan prinsipnya dalam dunia yang sarat dengan tekanan politik, ancaman luar dan konflik perasaan. Melangkau lebih daripada kisah cinta atau kuasa, naskah ini juga tentang pengorbanan seorang wanita yang memilih amanah untuk rakyat mengatasi kehendak hati sendiri.

Teater muzikal ini akan dipentaskan pada 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya. Ia adalah hasil kolaborasi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan ASWARA bersama Persatuan Alumni ASWARA. Menariknya, produksi ini menyatukan tenaga alumni, pensyarah dan pelajar sekali gus. Dari segi skala, ia bukan projek kecil. Rekaan pentas besar, gabungan lakonan, muzik dan tarian, serta pendekatan visual yang dijanjikan bakal memukau para penonton.

Apa yang paling memberi kesan pada saya ialah bagaimana cerita ini tidak sekadar memaparkan kehebatan seorang raja wanita, tetapi juga sisi sunyi dan dilema seorang insan. Dipersoalkan oleh pembesar sendiri, diancam oleh kuasa luar tetapi dalam masa yang sama menyimpan perasaan yang tidak kesampaian. Namun semua itu ditangani dengan kebijaksanaan dan keteguhan jiwa. Di situlah letaknya kekuatan Paduka Cik Siti.

Dari segi pasukan kreatif, karya ini adalah idea asal dan arahan Che Kem dengan skrip oleh Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy serta lirik oleh Dr. Hairul Anuar Harun. Antara pelakon yang terlibat termasuk Asmidar, Taqim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal, Zizi Hazirah dan ramai lagi. Melihat sendiri semangat mereka ketika sidang media, saya boleh bayangkan betapa intensifnya proses latihan yang sedang berjalan sekarang.

Terus terang saya katakan, selepas hadir ke sidang media ini, saya rasa semakin teruja untuk menonton sendiri pementasannya nanti. Bukan selalu kita dapat menyaksikan kisah sejarah wanita Melayu diangkat dalam bentuk teater muzikal berskala besar dengan sentuhan moden dan penuh emosi.

Untuk yang berminat, tiket sudah mula dijual di CloudJoi dengan harga bermula dari RM40 hingga RM150. Bagi saya, ini antara persembahan yang wajar kita sokong bukan hanya kerana nilai hiburan, tetapi kerana mesej, warisan dan keberanian yang dibawanya.

Tiket boleh dibeli di https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-paduka-cik-siti 

Untuk maklumat lanjut mengenai pementasan teater muzikal ini, boleh ikuti rapat laman sosial berikut untuk kemas kini terkini:

Instagram : @aswara.official, @Persatuan_alumni_aswara

TikTok : aswara.official, persatuanalumniaswara

Facebook : https://www.facebook.com/@aswara.edu

_________________________

Tentang ASWARA

Ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), ASWARA kini muncul sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi berteraskan seni budaya dan warisan yang didokong sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Sepanjang lebih tiga dekad, ASWARA telah memainkan peranan penting sebagai peneraju dalam pembangunan seni dan budaya negara, dengan komitmen mendidik serta membentuk bakat muda dalam pelbagai disiplin seni tradisional dan kontemporari.

Tentang Persatuan Alumni ASWARA

Ditubuhkan pada tahun 2009, Persatuan kini mempunyai lebih 1000 orang ahli, dibentuk untuk menyatukan graduan ASWARA dari pelbagai latar belakang dengan

hasrat untuk terus menyokong perkembangan mereka dalam industri seni. Dalam masa yang sama ramai Alumni ASWARA yang bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kesenian untuk komuniti bagi memastikan seni terus hidup. Antara alumni ASWARA adalah seperti Namron, Nad Zainal , Sherry Al-hadad, Amyra Rosli, Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Aubrey Suwito, Hazra Dollah dan ramai lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »