Butik Terbaru Evita Mairesse di Heritage House KL

Pembukaan butik persendirian Evita Mairesse sudah menjadi bualan sejak beberapa minggu lalu dan sebagai salah seorang tetamu jemputan, saya sendiri ingin melihat bagaimana seorang pereka yang berkembang pesat dalam tempoh lima tahun ini merasmikan ruang kreatif terbarunya. 

Butik ini beroperasi melalui janji temu. Biarpun ruangnya terhad tetapi ia memadai dan suasananya tetap terasa eksklusif. Palet hitam dan putih menjadi identiti visual hari itu dengan instalasi bunga putih sebagai photo prop. Semua ini mengingatkan saya kepada motif floral berstruktur yang sering muncul dalam rekaan Evita. Setiap detail memang kena dan selari dengan karakter jenamanya yang anggun dan feminin.

Di dalam butik, tetamu disambut dengan paparan busana couture Evita termasuk beberapa rekaan pentas yang pernah dibawa ke pertandingan antarabangsa. Melihatnya dari dekat membuatkan saya lebih faham kenapa beliau dikenali sebagai pembuat gaun untuk ratu cantik. Perinciannya halus dan setiap helaian seolah-olah membawa cerita yang tersendiri. Ada sesuatu tentang tekstur, bentuk dan siluetnya yang mencerminkan gabungan budaya, glamor dan keyakinan.

Dalam ucapan perasmian, beliau berkongsi bahawa pembukaan butik persendirian ini adalah pencapaian yang sangat peribadi. Katanya, beliau mahu mencipta ruang di mana wanita boleh datang untuk merasa dihargai dan mendapat ilham. Dari cara beliau bercakap, jelas sekali butik ini bukan sekadar tempat menjual gaun dan busana tetapi sebuah ruang kreatif untuk berkongsi visi, mengadakan prebiu eksklusif dan membina hubungan yang lebih dekat dengan pelanggan.

Butik baru ini akan menjadi pusat untuk konsultasi couture, gaun perkahwinan dan gaun karpet merah. Sementara itu outletnya di Bukit Bintang terus menampilkan koleksi ready-to-wear termasuk busana tradisional dari label keduanya, Mirnasari. Bagi saya, pelancaran di Heritage House benar-benar menunjukkan perjalanan lima tahun Evita membina jenamanya di Malaysia dan rantau Asia. Ia bukan hanya pembukaan butik tetapi satu bab baharu dalam perkembangan kreatif seorang pereka yang semakin mengukuhkan identitinya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »